iLovePalestine.com

22 July 2012

baitul muslim(2)

WASILAH MEMILIH JODOH

" Bagaimana sebaik selepas berkahwin? Tak terkilan?" ujar saya dengan soalan nakal.

"Memang dari segi kecantikan, isteri abang sekarang biasa-biasa sahaja."

"Maksudnya, yang dulu lebih cantik?"

"Kamu ni, masih berkisar dan berlegar-legar di situ juga. Ingat, yang biasa-biasa akan jadi luar biasa cantik apabila makin lama kita bersama dengannya. Itulah pengalaman abang. Hari ke hari, kecantikan isteri semakin terserlah. Entahlah, apa yang Allah ubah. Wajah itu atau hati ini?"

Wah,dia semakin berfalsafah! Kata-katanya punya maksud yang tersirat.

"Apa kaitannya dengan hati?" tanya saya. Ingin saya terus menvungkil mutiara hikmah daripadanya.

"Kalau hati kita indah, kita akan sentiasa melihat keindahan. Sebaliknya kalau hati rosak, keindahan tidak akan ketara, sekalipun sudah tampak di depan mata. Atau kita mungkin akan mudah bosan dengan apa yang ada lalu mula mencari yang lain."

'Ah, tentu dia bahagia kini!' bisik hati saya sendiri.

JADI ORANG BAIK DAN PILIHAN ORANG BAIK

"Apa panduan abang jika semua ini ingin saya tuliskan?"

"Pilihlah jodoh dengan dua cara. Pertama, jadilah orang yang baik. Insya Allah, kita akan mendapat jodoh yang baik. Kedua, ikutlah pilihan orang yang baik. Orang yang baik akan memilih yang baik untuk jadi pasangan hidup kita."

"Tapi bang, ramai yang menolak kaedah kedua. Kata mereka, mana mungkin kita menyerahkan hak kita memilih jodoh sendiri kepada ibu bapa. guru atau siapa jua sekalipun merek orang yang baik-baik."

"Tak mengapa, kalau begitu ambil cara pertama, jadilah orang yang baik.

"Bukan mudah hendak menjadi orang yang baik. Ia satu proses yang panjang dan sukar menentukan apakah kita sudah jadi orang yang baik atau belum."

Abang tersenyum lantas berkata, "Kamu menyoal bagi pihak orang lain, bukan?"

Saya diam. Dalam senyap saya akui, inilah soalan yang sering diajukan oleh para remaja di luar sana.

"Kedua-dua cara itu boleh dijalankan serentak. Maksudnya, jika kita berusaha menjadi orang yang baik, Insya Allah... Allah akan kurniakan kita jodoh yang baik melalui pilihan orang yang baik. Ataupun, kita berusaha menjadi orang yang baik sambil mencari orang yang baik sebagai jodoh, dan nanti pilihan kita itu direstui oleh orang yang baik!"

Wah,kedengaran berbelit-belit ayatnya, namun jika diamati ada kebenarannya.

"Tetapi ada juga mereka yang menolak pilihan orang yang baik, bukan?"

"Kerana mereka bukan orang yang baik", jawabnya pendek.

" Bukan, bukan begitu. Bolehkah terjadi orang yang baik menolak pilihan orang yang baik?"

"Ya, tidak mengapa. Tetapi mereka tetap menolaknya dengan cara yang baik. Itulah yang terjadi kepada seorang wanita yang bertanyakan haknya sama ada untuk menerima atau menolak jodoh yang dipilih oleh ibu bapanya kepada Rasulullah.s.a.w.

"Apa hikmah di sebalik kisah itu bang?"

"Kita boleh melihat persoalan ini dari dua dimensi. Pertama, mungkin ada anak-anak yang tidak baik menolak pilihan ibu bapa yang baik. Hikmahnya, Allah tidak mengizinkan orang yang baik menjadi pasanagn orang yang tidak baik. Bukankah Allah telah berjanji, lelaki yang baik hanya untuk wanita yang baik dan begitulah sebaliknya?"

Saya terdiam. Benar-benar tenggelam dalam fikiran yang mendalam dengan luahan hikmah itu.

JODOH URUSAN ALLAH

"Dan mungkin juga anak itu orang baik tetapi ibu bapanya yang tidak baik itu memilih calon yang tidak baik sebagai pasangannya. Maka pada waktu itu syariat membenarkan si anak menolak pilihan ibu bapanya. Ya, itulah kaedah Allah untuk menyelamatkan orang baik daripada mendapat pasangan hidup yang jahat."

"Bagaimana pula jika anak itu baik,dan ibu bapanya pun baik serta calon pilihan ibu bapanya juga baik, tetapi urusan pernikahan masih terbengkalai. Apa maknanya?" tanya saya inginkan penjelasan muktamad.

"Itulah takdir!Mungkin Allah menentukan 'orang baik' lain sebagai jodohnya. Sementara orang baik yang dicadangkan itu telah Allah tentukan dengan orang baik yang lain pula!"

Tiba-tiba saya teringat bagaimana Hafsah yang dicadangkan untuk menjadi calon isteri Sayidina Abu Bakar oleh ayahnya Sayidina Umar, tetapi ditolak. Akhirnya Hafsah bernikah dengan Rasulullah s.a.w. Kebaikan sentiasa berlegar-legar dalam kalangan orang yang baik!

"Jodoh itu urusan Allah. Sudah dicatat di alam rahim lagi. Tetapi prinsipnya tetap satu dan satu itulah yang wajib kita fahami.Orang yang baik berhak mendapat jodoh yang baik. Cuma sekali-sekala sahaja Allah menguji orang yang baik mendapat pasangan hidup yang jahat seperti Nabi Lut mendapat isteri yang jahat dan Asiyah yang bersuamikan Firaun laknatullah.

"Apakah hikmahnya kes yang berlaku sekali-sekala seperti itu?"

"Mungkin Allah hendak meninggikan darjat orang baik ke tahap yang lebih tinggi."

"Hikmah untuk kita?"

"Jika takdirnya pahit untuk kita,terimalah sebagai ubat. Katalah, kita sudah berusaha menjadi orang yang baik dan kita telah bernikah dengan pilihan orang yang baik, tetapi jika takdirnya pasangan kita bermasalah.......... bersabarlah. Katakan pada diri bahawa itulah jalan yang ditentukan oleh Allah untuk kita mendapat syurga. Maka rebutlah pahala sabar dan redha seperti Nabi Lut, Nabi Ayyub atau kesabaran seorang isteri bernama Siti Aisyah."

Tok, tok, tok. Tiba-tiba pintu bilik tulis saya diketuk. Wajah"abang bayangan" saya pergi tiba-tiba. Tersedar saya daripada lamunan yang panjang.

Wajah isteri terserlah di sebalik pintu. Sebalik melihatnya terdetak dalam hati sendiri, apakah aku telah menjadi insan yang baik untuk memperbaikinya?"

"Ah, hati dilanda bimbang mengingatkan makna satu ungkapan yang pernah saya tulis dahulu:

"Yang penting bukan siapa isterimu semasa kau nikahinya, tetapi siapa dia setelah menikah denganmu. Jadi, janji Allah bahwa lelaki yang baik untuk wanita yang baik bukan hanya berlaku di awal pernikahan, tetapi di pertengahannya, penghujungnya bahkan sepanjang jalan menuju syurga!"

“Ya Rabb.... Aku tidak meminta seorang yang sempurna, namun aku meminta seorang yang tidak sempurna, sehingga aku dapat membuatnya sempurna dimataMU..".

Dipetik daripada majalah solusi Isu 29: Al-Kisah Tentang Jodoh.

No comments: